Salam alaik🌼
Lumrah percaturan alam- buat bangun dan jatuh. Buat lelah, gembira, lantas kembali lelah. Buat yang langkahnya tinggi, sukses menhindar gohong, namun masih sama- terjelepuk dalam.
Begitulah dunia, yang sering tampaknya tidak adil.
Mengapa sering yang berkelana itulah yang diragut? Mengapa sering yang bercompang camping itulah yang jatuh sakit? Mengapa sering yang bertungkus lumus belajar, yang kantuknya ditahan, yang tidurnya usah ada, yang bangunnya disaksikan dingin pagi, tetapi itulah yang masih dilihat tercorot? Mengapa sering yang menyara keluarga itulah yang kecelakaan? - malah dalam perjalanan membawa sesuap nasi buat tangis kelaparan si kecil di rumah.
Mengapa hujan yang turun sering menjadi gelisah nasib rumah akan ditelan bah; walhal permukiman sebelah sedang aman bersama secangkir koko panas, dibuai bayu damai.
Begitulah dunia- adilnya tersimpan cuma di sisi Tuhan.
Begitulah dunia- adilnya terlihat cuma bagi yang benar-benar percaya- Yang Maha Memberi itu ialah yang Maha Penyayang.
Begitulah dunia- adilnya ada cuma buat yang tahu, harga kesusahan yang ikhlas keranaNya itu, dijanji Tuhan dengan keagungan kasih Sang Pentadbir Alam. Pengorbanan yang penuh sakit namun tulus kerana redhaNya itu, tanpa sangka merupakan titi terbesar buat akhirat yang selamanya. Buat akhirat yang jauh, yang lama, yang tidak ternisbah nilai dunia. Buat akhirat yang tiada lagi lelah dan lara. Buat akhirat yang benar-benar abadi. Tidak ada yang layu, tidak ada yang remuk redam, tidak ada yang mati.
--
Jawapan para Anbiya ketika diuji sangat menakjubkan.
Kepercayaan mereka kepada Allah sangat tinggi. Kita wajib tadabbur jawapan mereka dalam al-Quran.
Apa kata Nabi Nuh setelah diuji dengan kaumnya dan naik ke atas bahtera?
إن ربي لغفور رحيم
“sesungguhnya Tuhanku benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Surah Hud : 41)
Apa kata Nabi Hud setelah didustakan oleh kaumnya?
إن ربي على كل شيء حفيظ
“sesungguhnya Tuhanku Maha Pelihara atas segala sesuatu” (Surah Hud : 57)
Apa kata Nabi Soleh ketika menyeru kaumnya kepada Allah tapi tidak diendahkan bahkan selepas itu dikhianati?
إن ربي قريب مجيب
"sesungguhnya Tuhanku sangat dekat rahmatnya lagi Maha Perkenan doa hambanya”
Apa kata Nabi Ibrahim setelah kaumnya syirik bahkan ayahnya Azar juga melawannya, menjadi sumber kepada berhala?
إن ربي لسميع الدعاء
“sesungguhnya Tuhanku benar-benar Maha Mendengar segala doa”
Apa pula kata Nabi Shu’aib ketika kaumnya memperlekehkannya?
إن ربي رحيم ودود
“sesungguhnya Tuhanku Maha Penyayang lagi Maha Pengasih”
Apa kata Nabi Yusuf ketika dilempar ke dalam perigi oleh adik beradiknya lalu dibawa oleh pedagang ke Mesir, dipenjara?
إن ربي لطيف لما يشاء
“sesungguhnya Tuhanku Maha Lembut atas apa yang Dia kehendaki”
Apa kata Nabi Musa ketika diperangi Firaun habis-habisan dan dikepung segala sumber?
إن معي ربي سيهدين
“sesungguhnya rahmat Tuhanku bersamaku, Dia akan memberi petunjuk kepadaku”
Jawapan ini semua bukan datang daripada seorang yang serba lengkap dan mewah, tetapi daripada mereka yang diuji dengan semua bentuk ujian. Dibuang keluarga, masyarakat, dicemuh dan diperli.
Tetapi mereka tetap dengan iman kepada Allah. Kerana apa? Ya, kerana aqidah. Mereka tahu Allah sentiasa bersama orang yang benar.
Maka jika ujian melanda kita, ingatlah kisah mereka. Itulah tujuan Al-Quran diturunkan, untuk kita ambil pengajaran daripadanya.
(telegram The Garden of Al-Quran, oleh Muzuza)
fi hifzillah <3
No comments:
Post a Comment
Jangan lupa tinggalkan komen yang terbaik untuk entri ini 🥰